JEJAK WARISAN JAWI (II) 2011 - 7 Countries - 'RENTAS 7 NEGARA' > Malaysia > Thailand > Burma > China > Laos > Vietnam > Kemboja

Konvoi telah pun berlepas setelah majlis Flog-off oleh YB Datok' Seri Utama Dr Rais Yatim pada 24hb Mei 2011 di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad. Kini konvoi telah pun merentas 7 negara sehingga 19 Jun 2011. Berita perjalanan konvoi JWJ2 ini telah disiarkan setiap hari di Utusan Malaysia. Bernama Online dan Bernama Radio 24 [93.9fm] jam 10.10 pagi.
Konvoi telah selamat tiba ke Tanah Air tercinta, Malaysia pada jam 10.45 malam, 19hb Jun 2011. Catatan perjalanan akan di update di blog DIARI-JWJ2



MERANTAS 7 NEGARA - Jejak Warisan Jawi II 2011

Jejak Warisan Jawi (JWJ) adalah sebuah projek anjuran MAJMA' BUDAYA DAN WARISAN JAWI untuk menjelajah Rumpun Melayu Islam yang terbit hasil daripada pemikiran kritis segolongan kecil anak bangsa yang sayangkan sejarah bangsanya dan cuba melangkau kebiasaan untuk menyelusuri dan menjejaki sejarah rumpun bangsanya di luar kelompok negara bagi menjalin kembali ikatan yang dahulunya satu.

Bertujuan menjejak dan merungkai sejarah baru bangsa Melayu dan kesinambungan tinggalannya di seluruh dunia, ia juga untuk menjalin kembali hubungan silaturrahim di dalam kelompok negara yang berlainan. Ia juga satu program yang harmoni dengan persembahan kebudayaan Melayu Semenanjung dari pasukan WarisAlam kepada masyarakat Melayu di negara-negara lain. JWJ2 akan merentas 7 Negara selama 21 hari bermula dari 25hb Mei 2011 sehingga 14 Jun 2011 dengan menggunakan 10 buah kenderaan pacuan 4 roda dari pasukan BLACKWIND ADVENTURE TEAM. Selain itu ekspedisi ini turut membawa logo kempen ‘MELAWAT MALAYSIA’ sebagai salah satu usaha projek ini untuk memperkenalkan produk pelancongan bagi menarik pelancong ke Malaysia.


Thursday, May 19, 2011

Pandangan Seorang Mahasiswa Mengenai Projek Ekspedisi Jejak Warisan Jawi 2 Rentas 7 Negara

Melayu dan jawi bagaikan irama dan lagu. Laksana aur dengan tebing,menyokong sesama sendiri. Budaya melayu kaya dengan adat dan warisan. Andai kita golongan terpelajar yang mengaku sebagai melayu, berdarah melayu yang megah dengan warisan menjunjung adat,mana nak diletakkan muka jika ditanya tentang jawi,kesusasteraan melayu,kepelbagaian seni silat kalaulah ianya dibiarkan luput, tersisa ditelan zaman? Itupun kalau ada sisanya. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, takkan Melayu hilang di dunia.

Mata melihat, hati mengukur, akal mentafsir. Sebagai pelajar, berada di dalam proses pengajian peringkat universiti, kita seharusnya sedar akan pentingnya adat dan warisan.Walaupun ianya tidaklah dipelajari secara khusus sebagai satu subjek yang mempunyai kredit tertentu namun secara asasnya adat resam ini hidup melalui pengalaman,`soft skills’, dengan melibatkan diri dalam kokurikulum dan dalam aktiviti masyarakat setempat. Adat tidaklah molek dan sempurna jika diajar secara teori sedangkan pengamatan mana-mana budaya pun, praktikal adat itu sendiri yang seharusnya dijadikan sendi dalam melaksanakan apapun asalkan ianya berlandaskan syariat. Budaya memberi salam, menanggalkan kasut apabila masuk ke rumah, tatacara duduk,makan dan sebagainya bahkan berkomunikasi dengan sopan sebenarnya satu proses membudayakan adat yang bertunjangkan syariat di samping mencerminkan kredibiliti pelakunya. Di dalam aspek ketamadunan pula, bahasa merupakan satu elemen tunjang, jadi bahasa melayu yang berasaskan jawi adalah satu adat induk yang tak dapat tidak haruslah dikekalkan penggunaannya. Bahkan, Artikel 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan bertindak sebagai pelindung warisan keistimewaan melayu,agama dan adat setempat dengan menjadikan Bahasa Melayu itu bahasa kebangsaan dan menetapkan kuota servis dan permit untuk melayu itu sendiri.

Usaha Jejak Warisan Jawi ini disokong Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) dan beberapa IPT lain yang bergerak berlandaskan misi merungkai sejarah melayu nusantara dengan tema ‘Budaya Semarakkan Ikatan’ sememangnya satu usaha yang membanggakan dan penuh dengan tradisi. Kalaulah kebiasaannya anggota konvoi lain membawa mesej keamanan, bantuan sosial, dan pemeteraian usahasama ekonomi, uniknya konvoi ini membawa satu mesej menyatukan rumpun melayu nusantara. Adakah nasib Melayu terbela ataupun sebaliknya.Adakah melayu di sana disogok dengan wang bagi menghapuskan tradisi mereka. Adakah rasuah sudah menjadi darah daging masyarakat di luar sana. Ini menjadikan misi kebudayaan, pendidikan dan sosial ini sebagai yang pertama seumpamanya bukan sahaja dicetuskan malahan digerakkan atas semangat kejiranan yang tinggi.

Inisiatif ini menjadikan misi Jejak Warisan ini satu isu yang sudah pasti akan dibangkitkan kelak dan didokumentasikan sebagai tatapan,pengajaran dan sebagai satu usaha penyelidikan di peringkat pengajian bertepatan dengan konsep Universiti Penyelidikan (Research Universiti) yang digalas UIAM akhir-akhir ini. Tambahan pula sebagai pelajar jurusan undang-undang, saya berbangga dengan pihak pengurusan universiti dan tenaga pengajarnya yang bijak merumuskan setiap isu yang berbangkit dan bertindak sebagai satu agen pengekal warisan melayu dan agama Islam khususnya di peringkat tertinggi akademik. Di Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, tidak sempurna agaknya andai para pelajarnya tidak terpanggil menyuarakan pendapat membangkitkan isu bukan sahaja di dalam arena pengajian dalam kampus malahan di laman-laman sosial dan sebagainya.Hal ini sangat membanggakan dan membuktikan kredibiliti para pelajar sebagai pewaris masa depan ketamadunan negara, tidak menerima bulat-bulat sesuatu perkara sebelum dibahaskan dan dikaji buruk baiknya. Itulah jiwa melayu, peliharalah adat, betapa teguhnya adat sehinggakan syariat Islam itu sendiri mengangkatnya sebagai satu lunas yang mengharuskan undang-undang digubal bersendikan adat dan budaya setempat. Tak kenal maka tak cinta.

Ahmad Syafiq Mohd Yuhaizad,22.

Pelajar tahun ketiga Jurusan Undang-Undang di Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim,

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

No comments:

Post a Comment