JEJAK WARISAN JAWI (II) 2011 - 7 Countries - 'RENTAS 7 NEGARA' > Malaysia > Thailand > Burma > China > Laos > Vietnam > Kemboja

Konvoi telah pun berlepas setelah majlis Flog-off oleh YB Datok' Seri Utama Dr Rais Yatim pada 24hb Mei 2011 di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad. Kini konvoi telah pun merentas 7 negara sehingga 19 Jun 2011. Berita perjalanan konvoi JWJ2 ini telah disiarkan setiap hari di Utusan Malaysia. Bernama Online dan Bernama Radio 24 [93.9fm] jam 10.10 pagi.
Konvoi telah selamat tiba ke Tanah Air tercinta, Malaysia pada jam 10.45 malam, 19hb Jun 2011. Catatan perjalanan akan di update di blog DIARI-JWJ2



MERANTAS 7 NEGARA - Jejak Warisan Jawi II 2011

Jejak Warisan Jawi (JWJ) adalah sebuah projek anjuran MAJMA' BUDAYA DAN WARISAN JAWI untuk menjelajah Rumpun Melayu Islam yang terbit hasil daripada pemikiran kritis segolongan kecil anak bangsa yang sayangkan sejarah bangsanya dan cuba melangkau kebiasaan untuk menyelusuri dan menjejaki sejarah rumpun bangsanya di luar kelompok negara bagi menjalin kembali ikatan yang dahulunya satu.

Bertujuan menjejak dan merungkai sejarah baru bangsa Melayu dan kesinambungan tinggalannya di seluruh dunia, ia juga untuk menjalin kembali hubungan silaturrahim di dalam kelompok negara yang berlainan. Ia juga satu program yang harmoni dengan persembahan kebudayaan Melayu Semenanjung dari pasukan WarisAlam kepada masyarakat Melayu di negara-negara lain. JWJ2 akan merentas 7 Negara selama 21 hari bermula dari 25hb Mei 2011 sehingga 14 Jun 2011 dengan menggunakan 10 buah kenderaan pacuan 4 roda dari pasukan BLACKWIND ADVENTURE TEAM. Selain itu ekspedisi ini turut membawa logo kempen ‘MELAWAT MALAYSIA’ sebagai salah satu usaha projek ini untuk memperkenalkan produk pelancongan bagi menarik pelancong ke Malaysia.



Wednesday, May 25, 2011

Ekspedisi Warisan Jawi dilancar

[berita harian 2011/05/25]

RAIS melancarkan ekspedisi JWJ2 di hadapan Kompleks Sultan Abdul Samad di ibu negara, semalam.
RAIS melancarkan ekspedisi JWJ2 di hadapan Kompleks Sultan Abdul Samad di ibu negara, semalam.
KUALA LUMPUR: Ekspedisi Jejak Warisan Jawi II (JWJ2) merentasi tujuh negara sehingga ke China yang membawa mesej perpaduan dan keamanan bermula bagi menyelusuri susur galur warisan, kebudayaan dan sejarah empayar Melayu.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata aspek warisan sememangnya sesuatu yang tidak seharusnya dilupakan terutama generasi muda.
“Warisan Jawi melambangkan kekitaan di Malaysia, sekali gus membawa mesej mencari dan mendapatkan kebaikan untuk semua dan kita patut berbangga kerana ia membabitkan generasi muda yang sekali gus menunjukkan ketahanan diri mereka,” katanya selepas melancarkan ekspedisi JWJ2 di pekarangan Kompleks Sultan Abdul Samad di sini, semalam.

Selama 22 hari, bermula semalam hingga 18 Jun lalu, perjalanan lebih 700 kilometer sehari akan dilalui kira-kira 40 peserta ekspedisi di kalangan ahli Kelab Putera 1Malaysia, Majma’ Budaya dan Warisan Jawi selaku penganjur serta Blackwind Adventure Team yang menyediakan kenderaan pacuan empat roda.

Sepanjang ekspedisi yang melalui Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos, China dan Myanmar itu, peserta akan mempersembahkan seni kebudayaan Melayu Islam seperti silat, kompang, marhaban, berzanji dan nazam, selain menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk miskin.

Program itu turut diserikan dengan pembabitan penyanyi, Datuk DJ Dave yang menyumbang lagu beliau berjudul Ingin Bersua yang liriknya diubah suai bersesuaian dengan program itu.

Turut hadir, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang dan Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Ekspedisi Jejak Warisan Jawi II

[berita di kosmo 25.05.11]


RAIS (kiri) melepaskan peserta ekspedisi Jejak Warisan Jawi II di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim semalam melepaskan ekspedisi Jejak Warisan Jawi II (JWJ2) yang membabitkan perjalanan dari Malaysia ke Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos, China dan Myanmar, sejauh 10,000 kilometer.

Ekspedisi 22 hari itu dianjurkan Kelab Putera 1Malaysia, Majma' Budaya dan Warisan Jawi (MBWJ) serta disokong oleh kementerian tersebut.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Tiga mahasiswa bertuah dipilih sertai JWJ2

[Utusan Malaysia - Kampus - 24.05.2011]

KUALA LUMPUR 23 Mei - Tiga pelajar universiti tempatan berasa bertuah apabila dipilih sebagai anggota Jejak Warisan Jawi II (JWJ2) yang akan memulakan pengembaraan merentasi tujuh buah negara esok.

Bagi mereka, peluang yang diberikan pihak universiti serta penganjur itu akan dimanfaatkan sepenuhnya terutama dalam konteks meningkatkan pengetahuan dari segi susur galur sejarah Islam dan Melayu di rantau ini.

Mahasiswa Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Ahmad Taqqiyuddin Harun, 22, berkata, selain itu mereka juga berpeluang melihat sendiri keadaan masyarakat Islam di negara-negara bakal dilawati yang dikatakan hidup di dalam keadaan daif.

''Sebagai mahasiswa kami mahu bersama-sama memberi sumbangan dalam bentuk kebajikan kepada masyarakat Islam sama ada dalam bentuk material, fikiran dan pengetahuan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

JWJ2 merupakan satu ekspedisi yang akan merentasi tujuh buah negara bermula esok sehingga 18 Jun ini dengan menggunakan 11 kenderaan pacuan empat roda dan disertai oleh 40 orang anggota.

Ekspedisi sejauh 14,000 kilometer itu membabitkan perjalanan dari negara ini menuju ke ke Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos, China dan Myanmar.

Program kira-kira 27 hari itu dianjurkan oleh Kelab Putera 1Malaysia, Majma' Budaya dan Warisan Jawi (MBWJ) serta disokong oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Pelepasan ekspedisi esok dijadual disempurnakan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim manakala Utusan Malaysia pula merupakan akhbar rasmi bagi ekspedisi tersebut.

Mahasiswa tahun akhir Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd. Afiq Zulkifli, 23, pula berhasrat untuk melihat bagaimana kuatnya masyarakat Islam di negara-negara bakal dilawati mempertahankan jati diri Melayu walaupun mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran.

''Melalui kembara ke tujuh negara ini saya mahu melihat sendiri kehidupan umat Islam Melayu di sana. Di harap ia dapat menanamkan rasa keinsafan dan pengajaran dalam diri saya.

''Saya sedar mereka di sana terpaksa berdepan dengan krisis identiti jati diri disebabkan oleh peredaran masa dan proses asimilasi budaya. Namun saya yakin masih terdapat di antara mereka yang masih kuat mempertahankan jati diri Melayu dan amalan Islam,'' ujarnya.

Bagi seorang lagi mahasiswa UIAM, Ahmad Syafiq Mohd. Yuhaizad,22, yakin melalui ekspedisi tersebut ia secara langsung dapat membentuk keperibadiannya menjadi seorang insan yang lebih memahami warisan dan budaya Melayu.

''Secara peribadi saya amat berharap melalui JWJ2 ini akhirnya ia dapat didokumentasikan bagi tatapan dan pengajaran untuk generasi muda kita di negara ini,'' katanya lagi.

Tuesday, May 24, 2011

JWJ2 Jejak Rumpun Melayu Islam 7 Negara

[Berita JWJ2 di Utusan Malaysia (Jawi) 23.5.2011 m/s5]

Friday, May 20, 2011

Wawancara JWJ2 Bersama Radio 24

Jejak Warisan Jawi 2 Merentasi 7 Negara - dalam usaha menjejak dan meneroka sejarah baru bangsa Melayu dan kesinambungan tinggalannya. Bertemakan "Budaya Semarakan Ikatan" ikuti temubual bersama Penasihat Ekspedisi, En.Saiful Anwar dan Pengarah Ekspedisi, En.Zaid Mohd Rais langsung dalam Ala Carte Pagi (8.30am) - hubungi 03-2692 7939





Thursday, May 19, 2011

Pandangan Seorang Mahasiswa Mengenai Projek Ekspedisi Jejak Warisan Jawi 2 Rentas 7 Negara

Melayu dan jawi bagaikan irama dan lagu. Laksana aur dengan tebing,menyokong sesama sendiri. Budaya melayu kaya dengan adat dan warisan. Andai kita golongan terpelajar yang mengaku sebagai melayu, berdarah melayu yang megah dengan warisan menjunjung adat,mana nak diletakkan muka jika ditanya tentang jawi,kesusasteraan melayu,kepelbagaian seni silat kalaulah ianya dibiarkan luput, tersisa ditelan zaman? Itupun kalau ada sisanya. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, takkan Melayu hilang di dunia.

Mata melihat, hati mengukur, akal mentafsir. Sebagai pelajar, berada di dalam proses pengajian peringkat universiti, kita seharusnya sedar akan pentingnya adat dan warisan.Walaupun ianya tidaklah dipelajari secara khusus sebagai satu subjek yang mempunyai kredit tertentu namun secara asasnya adat resam ini hidup melalui pengalaman,`soft skills’, dengan melibatkan diri dalam kokurikulum dan dalam aktiviti masyarakat setempat. Adat tidaklah molek dan sempurna jika diajar secara teori sedangkan pengamatan mana-mana budaya pun, praktikal adat itu sendiri yang seharusnya dijadikan sendi dalam melaksanakan apapun asalkan ianya berlandaskan syariat. Budaya memberi salam, menanggalkan kasut apabila masuk ke rumah, tatacara duduk,makan dan sebagainya bahkan berkomunikasi dengan sopan sebenarnya satu proses membudayakan adat yang bertunjangkan syariat di samping mencerminkan kredibiliti pelakunya. Di dalam aspek ketamadunan pula, bahasa merupakan satu elemen tunjang, jadi bahasa melayu yang berasaskan jawi adalah satu adat induk yang tak dapat tidak haruslah dikekalkan penggunaannya. Bahkan, Artikel 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan bertindak sebagai pelindung warisan keistimewaan melayu,agama dan adat setempat dengan menjadikan Bahasa Melayu itu bahasa kebangsaan dan menetapkan kuota servis dan permit untuk melayu itu sendiri.

Usaha Jejak Warisan Jawi ini disokong Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) dan beberapa IPT lain yang bergerak berlandaskan misi merungkai sejarah melayu nusantara dengan tema ‘Budaya Semarakkan Ikatan’ sememangnya satu usaha yang membanggakan dan penuh dengan tradisi. Kalaulah kebiasaannya anggota konvoi lain membawa mesej keamanan, bantuan sosial, dan pemeteraian usahasama ekonomi, uniknya konvoi ini membawa satu mesej menyatukan rumpun melayu nusantara. Adakah nasib Melayu terbela ataupun sebaliknya.Adakah melayu di sana disogok dengan wang bagi menghapuskan tradisi mereka. Adakah rasuah sudah menjadi darah daging masyarakat di luar sana. Ini menjadikan misi kebudayaan, pendidikan dan sosial ini sebagai yang pertama seumpamanya bukan sahaja dicetuskan malahan digerakkan atas semangat kejiranan yang tinggi.

Inisiatif ini menjadikan misi Jejak Warisan ini satu isu yang sudah pasti akan dibangkitkan kelak dan didokumentasikan sebagai tatapan,pengajaran dan sebagai satu usaha penyelidikan di peringkat pengajian bertepatan dengan konsep Universiti Penyelidikan (Research Universiti) yang digalas UIAM akhir-akhir ini. Tambahan pula sebagai pelajar jurusan undang-undang, saya berbangga dengan pihak pengurusan universiti dan tenaga pengajarnya yang bijak merumuskan setiap isu yang berbangkit dan bertindak sebagai satu agen pengekal warisan melayu dan agama Islam khususnya di peringkat tertinggi akademik. Di Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, tidak sempurna agaknya andai para pelajarnya tidak terpanggil menyuarakan pendapat membangkitkan isu bukan sahaja di dalam arena pengajian dalam kampus malahan di laman-laman sosial dan sebagainya.Hal ini sangat membanggakan dan membuktikan kredibiliti para pelajar sebagai pewaris masa depan ketamadunan negara, tidak menerima bulat-bulat sesuatu perkara sebelum dibahaskan dan dikaji buruk baiknya. Itulah jiwa melayu, peliharalah adat, betapa teguhnya adat sehinggakan syariat Islam itu sendiri mengangkatnya sebagai satu lunas yang mengharuskan undang-undang digubal bersendikan adat dan budaya setempat. Tak kenal maka tak cinta.

Ahmad Syafiq Mohd Yuhaizad,22.

Pelajar tahun ketiga Jurusan Undang-Undang di Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim,

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Wednesday, May 18, 2011

Persiapan Ekspedisi JWJ2 Peringkat Akhir



Pelancaran dan Flag-off oleh Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim (Penaung Ekspedisi JWJ II - 2011) akan berlangsung pada 24hb Mei 2011 di hadapan Bangunan Sultan Samad pada jam 4.00 petang.

Thursday, May 12, 2011

Kembara 7 negara JWJ2



Barisan anggota ekspedisi JWJ2 yang akan menjelajah ke tujuh buah negara bagi misi menyusur warisan budaya Melayu dan Islam yang akan bermula pada 25 Mei hingga 14 Jun ini.

FIRMAN ALLAH yang bermaksud :
Bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan tersebut mereka menjadi orang yang ada hati yang dengannya dapat memahami atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar. (Namun jika pengembaraan itu tidak berguna) bukanlah mata yang buta, tetapi yang buta ialah dalam dada. (al-Hajj:46)

AYAT di atas adalah bukti Allah amat menggalakkan hamba-Nya mengembara ke seluruh pelosok bumi supaya dengan cara tersebut ia boleh meningkatkan ketakwaan dan keimanan terhadap Allah Maha Esa.

Melalui pengembaraan, umat Islam bukan sahaja dapat melihat tanda-tanda kekuasaan Allah malah memperoleh pelbagai pengajaran di sepanjang destinasi yang dituju.

Sejarah pengembaraan umat Islam bermula sejak zaman Rasulullah SAW apabila buat pertama kalinya berlaku hijrah ke Habsyah diketuai sahabat Rasulullah, Jaafar Abu Talib setelah umat Islam ditindas begitu hebat ketika berada di kota suci Mekah.

Malah sebelum diangkat sebagai rasul dan nabi, Nabi Muhammad SAW pernah dibawa mengembara oleh bapa saudaranya, Abu Talib hingga ke Syam untuk berniaga.

Sementara itu, peristiwa hijrah Rasulullah, para sahabat termasuk wanita dan kanak-kanak dari Mekah ke Madinah boleh disifatkan sebagai sejarah pengembaraan Islam yang begitu hebat apabila terpaksa berhadapan dengan kekangan serta halangan kaum kafir Quraisy di Mekah.

Namun, atas izin Allah dan atas kehendak-Nya jua hijrah tersebut berjaya disempurnakan dan seterusnya menjadi titik tolak kepada kebangkitan Islam dan penyebaran Islam sehingga saat ini.

Berasaskan semangat tersebut, sekumpulan 40 rakyat Malaysia menyahut cabaran mengembara merentasi tujuh negara. Tujuannya, menyusuri sejarah kewujudan masyarakat Melayu dan Islam di kawasan utara Asia Tenggara termasuk China.

Lebih mencabar, pengembaraan ini bukannya menaiki kapal terbang tetapi mereka akan menggunakan pacuan empat roda bermula dari Malaysia kemudian ke Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos, China dan Myanmar.

Mereka bakal menempuh laluan sejauh lebih 10,000 kilometer (km) dalam masa 22 hari, bermula 25 Mei dan berakhir 14 Jun 2011 melalui program Jejak Warisan Jawi II (JWJ2).

Sepanjang perjalanan, anggota ekspedisi bakal menemui sejarah-sejarah berkaitan orang Melayu, jenis dan bentuk amalan Islam di kalangan mereka.

Selain mencari salasilah warisan serta budaya Melayu, sekurang-kurangnya dengan pengembaraan seperti itu para anggota ekspedisi akan melihat secara langsung bagaimana Islam diamalkan oleh penduduk setempat.

Adakah amalan mereka serupa dengan kita ataupun sebaliknya. Sejauh mana pengetahuan mereka tentang Islam terutama ibadah wajib sama ada fardu ain mahu pun fardu kifayah.

Bagaimana pula kedudukan ekonomi mereka. Difahamkan kebanyakan mereka hidup dalam keadaan serba kekurangan.

Segala-galanya akan terjawab sebaik sahaja kumpulan ekspedisi menemui mereka sepanjang pengembaraan JWJ2.

Paling penting usaha seperti itu secara tidak langsung dapat merapatkan semula persaudaraan sesama Islam antara masyarakat Islam di Malaysia dengan masyarakat Islam di negara-negara yang akan dijelajahi.

Selain itu, kumpulan ekspedisi juga akan berusaha menjejaki penemuan-penemuan dalam bentuk material seperti al-Quran lama, tulisan khat, masjid serta sebarang bukti bertapaknya Islam di satu-satu kawasan.

Menurut Pengarah JWJ2, Zaid Muhammad Mohd. Rais, penjelajahan ini adalah atas semangat ukhuwah kerana masyarakat Islam di kawasan tersebut juga merupakan saudara-saudara seIslam.

"Dalam pengembaraan ini kita juga membawa misi kemanusiaan sama ada dalam bentuk pemberian derma, fidyah dan akikah untuk diagih-agihkan kepada mereka kerana kita difahamkan kehidupan mereka serba kekurangan," katanya.

Zaid Muhammad sebelum ini terlibat dalam ekspedisi JWJ pertama pada 12 sehingga 21 Februari tahun lalu.

Katanya, pengembaraan itu membawa keinsafan kepada semua anggota ekspedisi bahawa kehidupan masyarakat Islam di Malaysia jauh lebih baik berbanding saudara seagama di negara-negara bakal dilawati.

Misi tersebut adalah menjejaki minoriti Melayu Islam bermula di Danok, Satun, Krabi, Pantai Kemala, Bangkok sehingga Ayutthaya, 150 km dari ibu negara Thailand.

Bagaimanapun apa yang lebih menggembirakan anggota ekspedisi berjaya menemui kesan-kesan sejarah silam iaitu Islam sebenarnya telah lama bertapak di Thailand.

Antaranya adalah penemuan masjid-masjid yang berusia beratus-ratus tahun, al-Quran tulisan tangan berusia lebih 100 tahun serta kitab-kitab Jawi Melayu lama dianggar berusia ratusan tahun di Masjid Takia di Ayutthaya.

Di masjid yang sama dan di Masjid Jalan Khosan, Bangkok mereka juga menemui tulisan khat Arab 'Muhammad' dipahat di dinding masjid.

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

Link ke Utusan Malaysia

Wednesday, May 11, 2011

Sidang Media Program Jejak Warisan Jawi 2 Rentas 7 Negara di RTM





10.5.2011, bertempat di Kg Jalan Attap Kuala Lumpur di adakan sidang media mengenai perkembangan terbaru Program Ekspedisi Jejak Warisan Jawi 2 Rentas 7 Negara bersama Pengerusi Kelab Putera 1 Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim. Sidang media ini juga turut dihadiri Pengarah Program JWJ II, Saudara Zaid Muhammad.

Ia mendapat liputan wartawan dan stesen tv antaranya RTM, Al- Hijrah, Bernama, Utusan dan Sinar Harian.

JWJ2 jelajah 23 kawasan Melayu di tujuh negara

[Berita JWJ2 di Utusan Malaysia 11.5.2011 m/s27]

KUALA LUMPUR 10 Mei – Pengembaraan Jejak Warisan Jawi II (JWJ2) yang bakal bermula pada 29 Mei hingga 18 Jun ini akan merentasi 14,000 kilometer meliputi 23 kawasan perkampungan masyarakat Melayu di tujuh buah negara.

Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, antara kawasan yang akan dikunjungi ialah Ranong, Thailand; Kampung Cham, Kemboja; Nha Trang dan Da Nang, Vietnam; Vientiane, Laos dan Mengla, China.

Beliau berkata, di setiap persinggahan anggota ekspedisi akan mengadakan pelbagai aktiviti antaranya lawatan ke tempat bersejarah, memberi bantuan kepada penduduk, persembahan kebudayaan dan program motivasi untuk kanak-kanak setempat.

“Apa yang akan dilakukan oleh 50 peserta ekspedisi ini merupakan satu penjelajahan yang amat penting bagi kita kerana kumpulan ini akan berusaha menyusuri sejarah awal warisan Melayu yang dikatakan berasal dari kawasan-kawasan tersebut.

“Kita mahu sejarah ini diketahui oleh generasi kita supaya akhirnya mereka sedar bahawa orang Melayu bukan hanya setakat ada di Malaysia malah mereka ada di mana-mana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengumumkan pengembaraan JWJ2 secara rasminya di pejabat Kelab Putera 1Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah JWJ2, Zaid Muhammad Mohd. Rais serta anggota-anggota ekspedisi termasuk empat pelajar institut pengajian tinggi (IPT).

Program selama 22 hari itu dianjurkan oleh Kelab Putera 1Malaysia, Majma’ Budaya dan Warisan Jawi (MBWJ) serta disokong oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Link ke utusan

Menjejak Warisan Melayu - Utusan Melayu 9 Mei 2011

Berita Ekspedisi Jejak Warisan Jawi 2 - 2011 telah disiarkan di dalam Utusan Melayu sepenuh 3 mukasurat memetik kisah ekspedisi jelajah Malaysia pada 22-24 April. Seterusnya maklumat perjalanan ke 7 negara yang bakal ditempuhi oleh konvoi mulai akhir bulan Mei selama 21 hari.

Thursday, May 5, 2011

Ekspidisi Jejak Warisan Jawi mendapat sokongan penduduk Baling

April 23 - Sebanyak 10 buah kenderaan pacuan empat roda dari pasukan Blackwind Adventure Team telah singgah di bumi bertuah Baling ini dalam program Ekspidisi Jejak Warisan Jawi (JWJ). Ketibaan mereka disambut oleh penduduk di Taman Seri Harapan Kupang, sebagai persinggahan mereka sebelum bertolak ke destinasi yang berikutnya.

Projek ini merupakan anjuran MAJMA' BUDAYA DAN WARISAN JAWI yang akan merentas 7 negara selasa 21 hari bermula 25 Mei ini sehingga 14 Jun 2011. Persinggahan mereka di Kupang ini turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dan ibu tunggal sekitar peti undi Bukit Terabak. Selain itu ekspedisi ini turut membawa logo kempen ‘MELAWAT MALAYSIA’ sebagai salah satu usaha projek ini untuk memperkenalkan produk pelancongan bagi menarik pelancong ke Malaysia.

Persinggahan ini dalam sebagai langkah mempromosikan ekspidisi mereka iaitu menjelajah sejarah rumpun bangsa Melayu di luar negara bagi menjalinkan kembali ikatan persaudaraan bangsa.


Persembahan pencak silat oleh peserta konvoi JWJ

Dato Abd Azeez menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut. Beliau juga melalui Kelab Putera 1 Malaysia menyokong penuh usaha dalam mencari susur galur budaya Melayu serta menjejak budaya warisan tulisan jawi ini.



Peserta konvoi Jejak Warisan Jawi II bergambar bersama Dato Abd. Azeez di Taman Seri Harapan, Kupang, Baling.

Ekspedisi Jejak Warisan Jawi II terus dapat sokongan

[Berita di Utusan Malaysia pada 24.4.2011]

BALING 23 April - Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) menghulurkan sumbangan sebanyak RM10,000 bagi membantu program Jejak Warisan Jawi II untuk mencari susur galur budaya Melayu dan mendekati warisan tulisan jawi merentasi tujuh buah negara bermula 25 Mei hingga 14 Julai ini.

Presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kelab berkenaan sentiasa menyokong usaha untuk memartabatkan budaya Melayu bagi memberikan minat mendalam terhadap masyarakat kaum itu mencintai tulisan jawi.

"KP1M menyokong usaha mencari susur galur budaya melayu termasuk menjejak warisan budaya tulisan jawi ini," katanya ketika menyambut konvoi Ekspedisi Jejak Warisan Jawi II yang tiba di Kupang dekat sini hari ini.

Sebanyak 10 kenderaan pacuan empat roda dengan 48 anggota dijangka memulakan perjalanan menyusuri perkampungan Melayu di seluruh semenanjung Malaysia, Thailand, Myanmar, Laos, Kemboja, Vietnam dan China sepanjang ekspedisi itu

Ia akan memperkenalkan warisan Melayu seperti silat dalam mengembalikan budaya yang diwarisi orang Melayu di negara terbabit.

Abdul Azeez berkata, langkah penganjur itu dapat mempertingkatkan budaya dan warisan berkenaan agar terus kekal terutama melibatkan generasi muda di kawasan bandar dan luar bandar.

Katanya, usaha bagi memertabatkan tulisan jawi yang dilakukan oleh Utusan Melayu boleh menjadi inisiatif kepada kumpulan media lain untuk mengambil langkah yang serupa.

Menurut beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan penganjur dalam membantu mempromosi dan aktiviti melibatkan warisan terbabit diperluaskan kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

"Kita sedar bukan sahaja tulisan jawi ini dipelajari oleh orang Melayu malah turut diminati oleh bangsa lain seperti India dan Cina," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Ekspedisi Jejak Warisan Jawi, Zaid Mohamad Md. Rais berkata, kumpulan itu bergerak ke seluruh Semenanjung bagi memartabatkan semula warisan jawi khususnya sasaran kepada golongan muda yang makin tertinggal jauh.

"Kita akan teruskan perjuangan menyusur meneruskan warisan ini kerana yakin orang Melayu di negara berkenaan makin ramai dan masih membudayakan warisan jawi yang menjadi lambang kemegahan bangsa Melayu,"ujarnya.

Wednesday, May 4, 2011

Ekspedisi menjejak minoriti Melayu Islam


[BERITA JWJ2 DI UTUSAN MALAYSIA PADA 2.5.2011]