[BERITA DI UTUSAN MALAYSIA 11HB APRIL 2011]
KLANG 10 April - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Majma' Budaya dan Warisan Jawi (MBWJ) melancarkan ekspedisi khusus untuk menjejaki budaya dan warisan sejarah Melayu di Asia Tenggara menggunakan jalan darat.
Ekspedisi unik yang dikenali sebagai Jejak Warisan Jawi II (JWJ-II) itu, bakal melibatkan tujuh buah negara meliputi Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos, China dan Myanmar bermula 28 Mei hingga 13 Jun ini.
Pengerusi MBWJ, Zaid Muhammad Mohd. Rais berkata, ekspedisi itu diadakan sebagai salah satu usaha untuk memartabatkan sejarah dan warisan Melayu di rantau ini yang mungkin tidak diketahui oleh sebilangan besar masyarakat Malaysia.
Beliau berkata, ia akan disertai 40 peserta dan melibatkan penggunaan 10 buah kenderaan pacuan empat roda.
"Kebiasaannya, ramai pihak merasakan bahawa masyarakat Melayu hanya menetap di Malaysia, Indonesia dan Selatan Thailand tetapi sebenarnya mereka tinggal meluas di kawasan Asia Tenggara sebelum wujudnya sempadan politik pada hari ini.
"Malah ada di antara masyarakat Melayu di negara-negara berkenaan masih lagi berpegang kepada agama Islam, kebudayaan dan cara hidup yang diwarisi daripada nenek moyang mereka," katanya.
Beliau yang juga pengarah ekspedisi JWJ-II berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pra-pelancaran Ekspedisi JWJ-II di Taman Selatan, di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Zaid memberitahu, selain mengadakan pertemuan dengan masyarakat Melayu di negara-negara berkenaan, pihaknya turut menyampaikan sumbangan berupa keperluan asas, buku-buku dan sebagainya kepada mereka yang memerlukan.
"Kita juga akan mengadakan program kebudayaan bersama mereka antaranya permainan kompang, pencak silat dan sebagainya agar seni itu tidak dilupakan oleh generasi baru masyarakat Melayu di sana," ujarnya.
Sementara itu, penasihat program ekspedisi JWJ-II, Saiful Anwar Yahya pula berharap, lebih ramai pihak sama ada orang persendirian, badan-badan korporat dan sebagainya dapat bersama-sama menyalurkan sumbangan kepada masyarakat Melayu di negara yang bakal dilawati.
Ini kerana katanya, kebanyakan masyarakat Melayu di sana merupakan golongan minoriti dan rata-rata mereka merupakan golongan miskin selain tidak mempunyai kemudahan pendidikan yang baik berdasarkan ekspedisi JWJ pertama di Thailand pada tahun lalu.
Untuk maklumat lanjut ekspedisi ini, mereka yang berminat boleh mengunjungi laman web www.jwjonline.com atau menghubungi Zaid di talian 0192202327.
Sebahagian daripada ahli Majma' Budaya dan Warisan Jawi yang akan mengikuti Jejak Warisan Jawi II bergambar selepas mengadakan sidang akhbar di Klang, baru-baru ini - utusan/Saharuddin Abdullah.
UTUSAN MALAYSIA
No comments:
Post a Comment