JEJAK WARISAN JAWI (II) 2011 - 7 Countries - 'RENTAS 7 NEGARA' > Malaysia > Thailand > Burma > China > Laos > Vietnam > Kemboja

Konvoi telah pun berlepas setelah majlis Flog-off oleh YB Datok' Seri Utama Dr Rais Yatim pada 24hb Mei 2011 di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad. Kini konvoi telah pun merentas 7 negara sehingga 19 Jun 2011. Berita perjalanan konvoi JWJ2 ini telah disiarkan setiap hari di Utusan Malaysia. Bernama Online dan Bernama Radio 24 [93.9fm] jam 10.10 pagi.
Konvoi telah selamat tiba ke Tanah Air tercinta, Malaysia pada jam 10.45 malam, 19hb Jun 2011. Catatan perjalanan akan di update di blog DIARI-JWJ2



MERANTAS 7 NEGARA - Jejak Warisan Jawi II 2011

Jejak Warisan Jawi (JWJ) adalah sebuah projek anjuran MAJMA' BUDAYA DAN WARISAN JAWI untuk menjelajah Rumpun Melayu Islam yang terbit hasil daripada pemikiran kritis segolongan kecil anak bangsa yang sayangkan sejarah bangsanya dan cuba melangkau kebiasaan untuk menyelusuri dan menjejaki sejarah rumpun bangsanya di luar kelompok negara bagi menjalin kembali ikatan yang dahulunya satu.

Bertujuan menjejak dan merungkai sejarah baru bangsa Melayu dan kesinambungan tinggalannya di seluruh dunia, ia juga untuk menjalin kembali hubungan silaturrahim di dalam kelompok negara yang berlainan. Ia juga satu program yang harmoni dengan persembahan kebudayaan Melayu Semenanjung dari pasukan WarisAlam kepada masyarakat Melayu di negara-negara lain. JWJ2 akan merentas 7 Negara selama 21 hari bermula dari 25hb Mei 2011 sehingga 14 Jun 2011 dengan menggunakan 10 buah kenderaan pacuan 4 roda dari pasukan BLACKWIND ADVENTURE TEAM. Selain itu ekspedisi ini turut membawa logo kempen ‘MELAWAT MALAYSIA’ sebagai salah satu usaha projek ini untuk memperkenalkan produk pelancongan bagi menarik pelancong ke Malaysia.



Monday, May 31, 2010

Jejak Warisan Jawi di Berita Minggu (iv)

Pulau pelancongan tanpa arak dan maksiat

Penduduk mendakwa ‘pertolongan’ Allah elak kampung dimusnahkan tsunami

JIKA tidak kerana lokasi yang terkepung oleh kawasan hutan paya bakau yang mengelilingi hampir keseluruhan pulau, nescaya lebih 2,000 penduduk Pulau Panyee atau Koh Panyee yang terletak di wilayah Pang Nga, Thailand kini sudah berkubur.
Malah mengikut cerita beberapa penduduk di kawasan perkampungan itu, ketika kejadian hanya paras air laut saja yang naik mendadak sehingga mencecah dua meter dengan sedikit gegaran tetapi tsunami tidak sampai pun ke kawasan itu. Sama ada ia adalah satu keajaiban atau pertolongan Allah, pulau yang dihuni sepenuhnya komuniti Melayu atau lebih dikenali sebagai Thai Muslim itu ada ceritanya yang tersendiri.

Peniaga, Saffiyah Mahmud, 52, yang berasal dari Pattani dan menetap di perkampungan atas air itu sejak 15 tahun lalu, berkata apa yang berlaku adalah atas rahmat dan ketentuan Yang Maha Esa.

“Kawasan sekitar terutama Phuket yang sangat hampir dengan kami dan beberapa pulau lain terjejas teruk dan ramai penduduk yang terkorban, tetapi di sini kami hanya mengalami gegaran kecil dan melihat keadaan pelik air pasang agak melampau.

“Tetapi kami sangat bersyukur dan ia mungkin ujian Allah terhadap kami masyarakat Islam minoriti di sini,” katanya yang menjalankan perniagaan cenderamata dan kraftangan hasil laut di perkampungan itu.
Pulau Panyee atau bermaksud panji dalam bahasa Melayu adalah antara kawasan yang dihuni penduduk Melayu, malah untuk berkomunikasi juga tidak sukar kerana ramai penduduk di pulau itu yang boleh berbahasa Melayu kerana banyak yang berasal dari Pattani.

Ketika penulis bersama rombongan Jejak Warisan Jawi berehat menunaikan solat di masjid yang terletak bersebelahan bukit batu kapur di pulau berkenaan, baru-baru ini, penulis dimaklumkan Pulau Panyee menjadi satu daripada kawasan tarikan pelancongan utama di wilayah Pang Nga kerana keunikan perkampungan yang terletak di atas air.

Tetapi apa yang lebih menarik, sebelum kawasan itu diisytiharkan sebagai lokasi pelancongan hampir 10 tahun lalu, penduduk menetapkan syarat kepada kerajaan Thailand mengharamkan arak dan maksiat daripada masuk ke situ.

Mungkin juga kerana kekuatan semangat dan roh Islam penduduk pulau berkenaan yang tidak membenarkan apa juga aktiviti maksiat dan arak `menyelamatkan’ ribuan penghuni pulau daripada malapetaka maha hebat tsunami yang melanda pada 2004, selain keajaiban hutan paya bakau yang menjadi benteng penahan ombak semula jadi.

Walaupun begitu, kemasyhuran Pulau Panyee sedikit pun tidak terjejas, malah ia tetap menjadi kawasan tumpuan pelancong asing lebih-lebih lagi selepas tragedi tsunami yang sedikit pun tidak mengubah landskap kehidupan masyarakatnya.

Kehidupan masyarakat di Pulau Panyee lebih tertumpu kepada sektor pelancongan dengan hampir 60 peratus daripada penduduk menjadikan aktiviti berkaitan pelancongan terutama dalam penghasilan barangan daripada hasil laut terutama mutiara, kraftangan dan barangan cenderamata serta menjalankan perniagaan berasaskan makanan.

Sebagai destinasi pelancongan, apa yang tergambar oleh penulis adalah kawasan yang cantik dan lengkap dengan segala kemudahan. Namun kehidupan masyarakat Melayu di Pulau Panyee tidak seindah yang digambarkan.

Deretan rumah kelihatan bercampur, dengan kebanyakan rumah yang berhampiran jeti kelihatan teratur, mungkin kerana ia milik penduduk yang menjalankan perniagaan manakala rumah yang terletak agak ke belakang pulau dan laluannya dan perlu menyusuri sempit jelas adalah milik nelayan kerana kelihatan banyak jala dan jaring tersidai di hadapan rumah.

Tanah yang ada terlalu sedikit hinggakan sekolah terpaksa dibina diatas pelantar, begitu juga dengan padang perhimpunan kerana ketiadaan daratan, manakala baki tanah yang ada hanya boleh digunakan untuk satu tujuan, iaitu sebagai kawasan tanah perkuburan.

Walaupun dalam keadaan serba kekurangan dan serba sederhana, warga Melayu Pulau Panyee masih lagi mengekalkan tradisi kehidupan melalui nilai Melayu yang sudah tertanam dalam diri.

Cara berpakaian, cara kehidupan serta keadaan hidup bermasyarakat yang masih lagi mempunyai persamaan cuma apa yang membezakannya adalah pertuturan kerana bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa dipertuturkan saban hari.

Oleh Shaarani Ismail
Berita Minggu : 30.05.2010

No comments:

Post a Comment