JEJAK WARISAN JAWI (II) 2011 - 7 Countries - 'RENTAS 7 NEGARA' > Malaysia > Thailand > Burma > China > Laos > Vietnam > Kemboja

Konvoi telah pun berlepas setelah majlis Flog-off oleh YB Datok' Seri Utama Dr Rais Yatim pada 24hb Mei 2011 di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad. Kini konvoi telah pun merentas 7 negara sehingga 19 Jun 2011. Berita perjalanan konvoi JWJ2 ini telah disiarkan setiap hari di Utusan Malaysia. Bernama Online dan Bernama Radio 24 [93.9fm] jam 10.10 pagi.
Konvoi telah selamat tiba ke Tanah Air tercinta, Malaysia pada jam 10.45 malam, 19hb Jun 2011. Catatan perjalanan akan di update di blog DIARI-JWJ2



MERANTAS 7 NEGARA - Jejak Warisan Jawi II 2011

Jejak Warisan Jawi (JWJ) adalah sebuah projek anjuran MAJMA' BUDAYA DAN WARISAN JAWI untuk menjelajah Rumpun Melayu Islam yang terbit hasil daripada pemikiran kritis segolongan kecil anak bangsa yang sayangkan sejarah bangsanya dan cuba melangkau kebiasaan untuk menyelusuri dan menjejaki sejarah rumpun bangsanya di luar kelompok negara bagi menjalin kembali ikatan yang dahulunya satu.

Bertujuan menjejak dan merungkai sejarah baru bangsa Melayu dan kesinambungan tinggalannya di seluruh dunia, ia juga untuk menjalin kembali hubungan silaturrahim di dalam kelompok negara yang berlainan. Ia juga satu program yang harmoni dengan persembahan kebudayaan Melayu Semenanjung dari pasukan WarisAlam kepada masyarakat Melayu di negara-negara lain. JWJ2 akan merentas 7 Negara selama 21 hari bermula dari 25hb Mei 2011 sehingga 14 Jun 2011 dengan menggunakan 10 buah kenderaan pacuan 4 roda dari pasukan BLACKWIND ADVENTURE TEAM. Selain itu ekspedisi ini turut membawa logo kempen ‘MELAWAT MALAYSIA’ sebagai salah satu usaha projek ini untuk memperkenalkan produk pelancongan bagi menarik pelancong ke Malaysia.



Monday, April 19, 2010

Jejak Warisan Jawi di Berita Minggu (ii)

Pulau Koh Klang bebas maksiat
Oleh Shaarani Ismail


Penduduk terhindar daripada musibah

PERJALANAN dari Krabi, sebuah bandar pelancongan yang agak terkenal di Selatan Thailand menuju ke Pulau Koh Klang menaiki bot panjang mengambil masa kurang daripada 15 minit. Daripada maklumat yang diperoleh melalui pembacaan, pulau ini juga unik kerana lokasinya yang agak tersorok di celah hutan dan teluk yang dikelilingi paya bakau dan menjadi penyelamat ketika ketika dunia digemparkan dengan tragedi tsunami pada Disember 2004. Walaupun ceritanya tidak sehebat Pulau Panyee, pulau ini dihuni 100 komuniti Islam yang tidak mengalami kesan akibat tragedi itu, Pulau Koh Klang turut menyimpan cerita yang hampir sama kerana prinsip penghuninya yang tidak membenarkan gejala mungkar memasuki kawasan sekitar pulau meskipun diwartakan sebagai satu daripada destinasi pelancongan oleh kerajaan Thailand sejak dua tahun lalu.

Koh Klang adalah sebuah perkampungan yang dihuni sepenuhnya Melayu Muslim Thai yang kebanyakannya berasal dari wilayah Satun, Thailand yang bersempadan dengan Kedah dan terletak berhampiran Langkawi.

Dengan keluasan pulau yang dianggarkan seluas kira-kira lima kilometer persegi dan tiada jaringan jalan raya, keadaan perkampungan di situ terhindar daripada pencemaran dan kekal terpelihara.

Namun begitu, penduduk di pulau itu lebih selesa mengekalkan keadaan sedia ada walaupun sudah diiktiraf sebagai satu daripada destinasi pelancongan utama oleh kerajaan Thailand sejak dua tahun lalu melalui aktiviti percutian berkonsepkan homestay.
Supannee Boothra, individu yang dipertanggungjawabkan menguruskan homestay di perkampungan itu, berkata penduduk kampung bersepakat tidak membenarkan pembangunan secara besar-besaran kerana ia akan mengubah landskap pulau itu dan akan membawa masuk pelbagai elemen yang tidak sepatutnya.

“Kami seperti juga penduduk Islam Pulau Panyee menolak segala elemen maksiat sebelum menerima tawaran kerajaan untuk menjadikan kawasan tempat tinggal kami sebagai kawasan pelancongan,” katanya.

Mata pencari utama penduduk ialah melalui aktiviti perikanan, pertanian dan pelancongan, malah kebanyakan penduduk seboleh-bolehnya mahu mengekalkan keadaan semula jadi yang kini menjadi tarikan di pulau berkenaan.

“Saya tak mahu keadaan itu berlaku di sini...kalau saya mahu melihat kemajuan saya boleh pergi ke Krabi yang jaraknya hanya kira-kira 10 minit dengan menaiki bot.

“Itu yang kami cuba kekalkan, walaupun apa yang cuba kami pertahankan itu adalah sesuatu yang sukar, kami berjaya membuktikan melalui pelbagai pengiktirafan yang diterima sejak sektor pelancongan menjadi nadi pertumbuhan di kawasan ini,” katanya.

Kenyataan Supannee itu ada asasnya kerana walaupun baru setahun jagung beroperasi, industri pelancongan yang diusahakan penduduk setempat berjaya menggondol dua anugerah daripada kerajaan Thailand iaitu Anugerah Pelancongan Terbaik Thailand 2007 dan Anugerah Pengurusan Hospitaliti Terbaik daripada Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand pada tahun sama.

Melihat kepada tradisi Melayu yang masih dikekalkan di perkampungan itu, penulis cuba menyelami perasaan Supannee yang berdarah Melayu tetapi tidak dapat menyelami budaya Melayu secara total.

“Memang sedih...kami tidak dapat bertutur dalam bahasa Melayu kerana sejak kecil pendedahan itu tiada, tetapi apabila melihat warisan Melayu kembali datang ke perkampungan ini saya rasa cukup berbesar hati, malah bukan saja saya tetapi seluruh warga kampung juga tersentuh melihat kepelbagaian budaya Melayu yang tidak pernah kami lihat sebelum ini,” katanya.

Ekspedisi Jejak Warisan Jawi yang datang bertamu ke perkampungan itu bersama 22 peserta termasuk media turut membuat pelbagai persembahan kebudayaan seperti demonstrasi pencak silat, marhaban dan berzanji serta persembahan kompang untuk hiburan masyarakat setempat.

Penulis juga sempat menemubual seorang penduduk, Haren Masud, 62, yang fasih berbahasa Melayu bagi mendapatkan maklum balas melalui program yang dianjurkan dan dia cukup seronok serta teruja atas inisiatif yang dilakukan masyarakat Melayu Malaysia mengetengahkan budaya Melayu kepada masyarakat Melayu minoriti Thailand yang sudah semakin terhakis budaya dan identitinya.
“Sekurang-kurangnya generasi muda di sini nampak bahawa Melayu itu kaya dengan adat dan budayanya,” katanya ringkas.

Ketua ekspedisi, Zaid Muhamad yang juga Pengerusi Majmak Warisan Jawi, berkata inisiatif mengadakan ekspedisi ini sebenarnya bermatlamatkan menjejaki Melayu yang kini menjadi minoriti dengan mengetengahkan warisan yang ada supaya mereka kenal dan tahu bahawa darah Melayu itu tetap ada walaupun sudah melalui proses asimilasi hingga hampir lupa asal usul mereka.

“Kampung ini menjadi kampung pertama dikunjungi dan maklum balas serta kegembiraan jelas terpancar pada wajah mereka yang kelihatan seperti terlalu rindu melihat kebudayaan Melayu yang lama dan tidak mereka kenali dipertontonkan.

“Walaupun terdapat kekangan bahasa, kerjasama dan semangat yang ditunjukkan sangat dipuji,” katanya.

Majmak Warisan Jawi ialah gabungan individu yang pelbagai latar belakang pendidikan tetapi mempunyai matlamat yang satu iaitu mencari susur galur identiti Melayu dan menyatukan mereka melalui ekspedisi seperti yang dianjurkan.


Lihat: Berita Minggu BM2 18hb April 2010 m/s 5

No comments:

Post a Comment